Pengenalan
Zaman Paleolitik juga dikenali sebagai Zaman Batu Lama. Zaman ini berlangsung dari 50,000 SM hingga 10,000 SM. Manusia Peking dan manusia Jawa wujud pada zaman ini. Menjelang 50,000 SM, orang Neanderthal mula hidup di Eropah, Asia dan Afrika. Selepas itu, menjelang tahun 20,000 SM, orang Cro-Magnon tinggal di Eropah dan mengasaskan kebudayaan moden di Eropah dan Afrika Utara. Orang pada zaman ini melukis gambar-gambar di dinding gua untuk melahirkan perasaan dan idea-idea mereka.
Ciri-ciri :
Tempat Tinggal
Orang Paleolitik sudah mula belajar untuk mengadakan tempat tinggal. Mereka tinggal di dalam gua-gua atau berlindung di bawah ranting-ranting yang ditutup dengan rumput-rampai dan di dalam lubang-lubang di bawah tanah. Mereka tinggal di kawasan ini kerana ingin melindungi diri daripada serangan musuh atau binatang liar dan tiupan angin dan sebagainya. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat rehat bagi mereka yang telah penat selepas melakukan aktiviti harian seperti memburu. Sebagai contoh, Gua Niah di Sarawak dan Gua Badak di Perak.
Cara Hidup
Orang Paleolitik hidup secara nomad, iaitu berpindah-randah dalam kelompok kecil. faktor utama yang mendorong mereka hidup secara nomad adalah disebabkan oleh faktor bekalan makanan. Sudahpun diketahui oleh kita semua, manusia zaman ini tidak tahu menternak binatang dan menanam tanaman, mereka mendapatkan bekalan makanan secara memburu dan sebagainya. Apabila sumber makanan di suatu tempat didapati berkurangan atau habis, mereka akan pindah ke tempat lain yang dapat membekalkan makanan yang diperlukan. Maka, tempat kediaman mereka juga tidak tetap.
Kegiatan Seharian
Aktiviti yang dijalankan oleh orang Paleolitik setiap hari ialah memburu, menangkap ikan, memungut hasil hutan dan sebagainya. Semua aktiviti yang dijalankan kebanyakannya berkaita dengan mencari bekalan makanan harian. Pada zaman ini, mereka tidak mempunyai apa-apa hiburan. Selepas memburu, mereka akan berehat, makan kemudian tidur, tiada perkara lain yang akan dilakukan. Binatang yang biasa dicuru adalah seperti harimau, rusa dan sebagainya. Hasil hutan yang dikutip pula adalah seperti sayuran liar, buah-buahan dan sebagainya.
Peralatan
Peralatan yang digunakan oleh orang Paleolitik dibuat daripada kayu, batu dan tulang. Bentuk peralatannya tidak berapa kemas. Bentuknya boleh dikatakan kasar. Peralatan ini digunakan untuk memburu, menumbuk, menetak, memotong dan mempertahankan diri daripada musuh dan binatang liar. Sebagai contoh, kapak dibuat daripada seketul batu berbentuk bujur yang hujungnya ditajamkan dan tanduk rusa dijadikan sebagai cangkul untuk meluaskan gua-gua tempat tinggal mereka.
Kepercayaan
Orang Paleolitik mempunyai kepercayaan animisme, iaitu percaya bahawa semua benda di dunia ini mempunyai roh. Mereka percaya bahawa unsur alam semesta telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, mereka memuja unsur alam semesta untuk mendapatkan hasil tanaman yang banyak. Unsur alam semesta yang dipuja termasuk bulan, matahari dan sebagainya.
Pakaian
Orang Paleolitik sudahpun tahu berpakaian. Pakaian mereka dibuat daripada kulit binatang, contohnya kulit rusa, harimau, beruang dan sebagainya. Semasa rusa berhijrah ke Selatan, mereka telah menangkap rusa tersebut. Daging rusa telah dijadikan sebgai makanan dan kulitnya digunakan untuk dijadikan pakaian. Kulit ini kemudiannya disambung dengan tali kulit.
Orang Paleolitik tahu menggunakan api untuk memanaskan badan, menakutkan binatang liar dan memasak daging. Mereka mendapat pengetahuan penggunaan api daripada fenomena kebakaran hutan yang dihasilkan akibat pokok-pokok disambar kilat. Pada permulaan, mereka tidak tahu membuat api. Lama-kelamaan, mereka mengetahui bahawa api boleh dihasilkan dengan kaedah geseran batu. Selain itu, ada kemungkinan juga api dihasilkan secara tidak langsung, iaitu hasil daripada usaha seseorang yang bersungguh-sungguh memperbaiki alat kayunya sehingga keluar bunga api disebabkan panas. Di Australia, api dihasilkan dengan mengumpulkan daun-daun dan lumut-lumut ke dalam sebatang kayu yang berlubang dan kemudiannya pusing sebatang kayu tajam ke atasnya sehingga ia terbakar.
0 comments:
Post a Comment